Industri Kecil dan Sederhana
(IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat menyediakan
perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi
RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Di
Malaysia terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat
sokongan penuh daripada kerajaan.
Industri ini mengeluarkan hampir
semua barang pengguna, barang sokongan industri besar dan yang tidak dapat
dikeluarkan oleh industri besar seperti sektor pembuatan makanan. Organisasi
mudah, diasaskan oleh keluarga dan pekerja adalah ahli keluarga dan penduduk
setempat. Modalnya yang terhad menyebabkan penggunaan kaedah intensif buruh.
MARA dan MIDF memberi bantuan modal kerana kesukaran bantuan kredit daripada
institusi kewangan. Kebiasaannya, perniagaan yang berasaskan industri ini
terletak di merata tempat dan kurang bergantung kepada kemudahan
infrastruktur.
Terdapat pelbagai kegiatan dalam
industri kecil dan sederhana. Antaranya ialah industri berasaskan sumber,
industri berasaskan logam, industri berasaskan plastik, industri komponen
automotif, industri berasaskan elektrik dan elektronik, industri pemprosesan
makanan, industri kimia, dan industri farmaseutikal. Industri minuman adalah
tergolong dalam industri pemprosesan makanan.
Penglibatan dalam Industri Kecil
dan Sederhana (IKS) ini dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga
negara. Antara peluang yang dapat diperolehi masyarakat ialah peluang untuk
menceburi bidang perusahaan, peluang menggunakan kebolehan, daya cipta dan
kreativiti, peluang pekerjaan dan seterusnya dapat memenuhi keperluan dan
kehendak masyarakat. Manakala, sumbangan industri ini kepada negara ialah dapat
mengurangkan pangangguran, dapat meningkatkan tabungan dalam ekonomi,
pengagihan pendapatan negara lebih adil kerana IKS menawarkan upah yang lebih tinggi kepada pekerja kurang
mahir, menyediakan latihan dan kemahiran kepada pekerja, dapat mengukuhkan
struktur asas industri negara melalui hubung jalin dan pemindahan teknologi
dengan firma besar dan syarikat antarabangsa, dan seterusnya dapat mengurangkan
import barang pengguna.
Terdapat pelbagai agensi yang
terlibat dalam industry kecil dan sederhana. Penyediaan program penyelidikan
dan pembangunan melibatkan agensi seperti SIRIM, MARDI dan MPOB membantu IKS
dalam mencapai piawaian yang tinggi. Malah, melalui program rantaian industri
(ILP), program pembangunan vendor diperkenalkan untuk membekalkan komponen
kritikal kepada syarikat besar. Dari segi kewangan pula, kebiasaannya, Bank
Perdagangan dan MARA merupakan sumber kredit bagi IKS. Selain itu, pakej
kewangan untuk IKS ( PAKSI) yang dilancarkan oleh SMIDEC menyediakan kemudahan
pinjaman dalam bentuk soft loan.
Industri
Minuman
Industri adalah suatu usaha atau
kegiatan pengolahan bahan mentah atau barang setengah jadi menjadi barang jadi
yang memiliki nilai tambah untuk mendapatkan keuntungan. Di Malaysia kini,
telah berkembang kepelbagaian industri yang dapat membantu meningkatkan ekonomi
negara. Salah satu daripada industri yang semakin berkembang pesat di negara
ini ialah industri minuman.
Minuman Negara berkembang pesat sejak beberapa
tahun kebelakangan ini sejak peralihan ekonomi daripada yang berasaskan
pertanian kepada yang berasakan industri. Peralihan besar ini bertolak dari
kesedaran bahawa negara perlu mengurangkan kebergantungan ke atas import; dan
perlu mewujudkan sektor berasaskan teknologi bagi menjamin kejayaan ekonomi
Negara. Teras pertama dalam rancangan Malaysia ke-9 menyatakan hasrat kerajaan
untuk memberi tumpuan secara berterusan terhadap beberapa bidang tertentu
termasuk industri makanan/minuman.
Pada dasarnya, industri minuman
ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori; minuman panas seperti teh atau
kopi, minuman ringan termasuk jus, minuman bersoda dan air mineral, dan minuman
beralkohol termasuk bir, anggur dan minuman keras yang lain. Tugasan yang kami
jalankan ini melibatkan industri minuman ringan iaitu perusahaan memproses
kordial berperisa.
Pemprosesan kordial berperisa
ialah salah satu industry minuman ringan yang popular di Malaysia. Industri ini
mula diperkenalkan di negara oleh beberapa syarikat yang besar. Pada masa yang
sama, banyak juga syarikat yang memproses minuman bergas. Sejak beberapa tahun
kebelakangan ini beberapa syarikat kecil mula menceburi bidang ini.
Pelaburan modal untuk mendirikan
kilang memproses kordial berperisa agak rendah berbanding dengan kilang
memproses minuman bergas (di dalam botol atau tin) dan minuman atau jus
buah-buahan dalam kotak. Faktor inilah yang menyebabkan pengusaha kecil yang
mempunyai kewangan terbatas berminat menceburi industri pemprosesan kordial
berperisa.
Kebanyakan kordial berperisa yang
dijual di pasaran ialah minuman ringan yang mengandungi bahan perisa ros,
sarsi, strawberi, ‘fruitade’ dan lemon tanpa buah-buahan. Ada juga kordial
berperisa yang mengandungi pulpa buah-buahan seperti kordial berperisa oren,
anggur, laici dan mangga. kordial ini dinamakan kordial berperisa kerana
mengandungi pulpa buah-buahannya kurang daripada 25%.
Statistik
Kadar pertumbuhan Negara adalah
meningkat dari tahun ke tahun. Umum mengetahui bahawa perkembangan ekonomi
Malaysia berkembang pesat sejak 20 tahun lalu. Malaysia mengalami pencapaian
yang dengan peningkatan sehingga 6 peratus dalam pertumbuhan ekonomi Negara.
Pertumbuhan dalam sektor
perkilangan menjadi sederhana kepada 4.2 peratus mencerminkan terutamanya
pertumbuhan sederhana dalam industri berorientasikan eksport.
Walaubagaimanapun, pertumbuhan dalam industri berorientasikan pasaran dalam
negeri kekal stabil. Kelompok berkaitan pembinaan mendapat manfaat daripada
kegiatan pembinaan yang mampan, manakala pertumbuhan dalam kelompok berkaitan
pengguna didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri makanan,
minuman, dan tembakau, sejajar dengan pertumbuhan yang kukuh dalam penggunaan
swasta.
Keseluruhan, penggunaan kapasiti
dalam sektor perkilangan adalah lebih tinggi pada 80 peratus. Industri
berorientasikan eksport adalah sebanyak 8 peratus dan industri pasaran dalam
negeri beroperasi adalah pada 70 peratus. Ini menunjukkan bahawa industri yang
berorientasikan eksport mengatsasi industri berorientasikan pasaran.
Berdasarkan tinjauan ini,
industri berasaskan pasaran ini adalah rendah berbanding industri berasakan
eksport. Industri berasaskan pasaran ini merangkumi dua kelompok iaitu kelompok
berkaitan pembinaan dan kelompok keluaran berkaitan pengguna. Walaubagaimanapun,
merujuk statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia ini, kelompok berkaitan pembinaan adalah
lebih tinggi berbanding kelompok berkaitan keluaran berkaitan pengguna. Ini
adalah hasil sumbangan daripada keluaran berkaitan pembinaan iaitu 1.0 peratus
manakala selebihnya adalah daripada keluaran berkaitan logam yang direka iaitu
sebanyak 21.9 peratus. Kelompok keluaran berkaitan pengguna pula mempunyai
kadar sebanyak 9.4 peratus pada tahun 2012. Kadar ini disumbangkan daripada
kelengkapan pengangkutan iaitu 7.1 peratus. Manakala selebihnya pula, adalah
disumbangkan melalui makanan dan minuman iaitu sebanyak 9.7 peratus.